Komuniti perlu kerjasama banteras jenayah
TAMAN LAPANGAN SSI - Organisasi komuniti adalah teras kepada pencegahan jenayah yang banyak berlaku di kawasan bandar.
Sehubungan itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Senior Asisten Komisioner II, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, faktor politik, ekonomi dan sosial adalah penyumbang kepada keganasan serta kes jenayah di sesebuah kawasan kejiranan.
“Keseluruhannya kadar jenayah di bandar raya Ipoh adalah rendah berbanding bandar lain seperti Lembah Klang di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor,” katanya.
Berucap pada majlis perasmian Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Taman Lapangan SSI, Pasir Puteh di sini, kata beliau, indeks jenayah juga mencatatkan tren menurun di bandar raya Ipoh dan jika ada kenaikan pun kesnya tidak tinggi.
Katanya, inisiatif yang perlu diambil ialah dengan mereka bentuk dan mendidik orang ramai bagi menjayakan inisiatif bandar selamat.
“Usaha mencegah jenayah perlu dipikul semua pihak. Kempen keselamatan adalah langkah terbaik dan bagi menggalakkan kempen keselamatan ini.
“Bayaran ke atas pengawalan keselamatan di taman perumahan akan memberikan lebih keyakinan kepada orang ramai terutama penduduk setempat,” katanya.
Mohd Dzuradi berkata, pengawalan di kawasan yang menjadi tumpuan jenayah seperti di laluan kecil, semak samun dan kawasan berkaitan juga perlu dipertingkatkan dengan polis memerlukan kerjasama semua pihak.
Kata beliau, antara langkah yang boleh diambil ialah dengan memasang Kamera Litar Tertutup (CCTV).
Sementara itu, katanya, kewujudan pondok kawalan keselamatan di taman perumahan tidak bermakna polis tidak melakukan rondaan, tetapi akan dapat menambah atau meningkatkan lagi kawalan pencegahan.
“Ini kerana, masing-masing mempunyai peranan dan rondaan yang kerap akan dibuat seperti unit MPV juga perlu mengikut jadual yang ditetapkan.
“Bagaimanapun, kekerapan itu bergantung kepada kawasan yang mempunyai kadar jenayah yang tinggi,” katanya.
Mohd Dzuraidi berkata, bagi meningkatkan keyakinan dengan tahap keselamatan di sesebuah kawasan perumahan, pelaksanaan sistem pondok keselamatan adalah penyelesaian terbaik.
“Kita juga ada menyediakan talian Bilik Gerakan Polis untuk memudahkan penyaluran maklumat dari balai pengawal,” katanya.
Polis sentiasa menyokong dan memberikan kerjasama kepada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang melaksanakan perkhidmatan kawalan itu.
Malah katanya, bayaran yang berpatutan kepada pasukan kawalan keselamatan swasta itu tidak menjadikan ia suatu bebanan.
Pada masa sama, ketika diminta mengulas kes kedai emas yang ditebuk dari tiga kedai lain di Gunung Rapat minggu lalu, kata Mohd Dzuraidi, polis belum mendapat apa-apa petunjuk berhubung kes itu kerana ia menimbulkan banyak tanda tanya.
“Kita masih lagi menyiasat kes berkenaan kerana masih ragu apabila penjenayah terbabit boleh menembusi lubang yang kecil itu. Kejadian seperti ini agak jarang berlaku termasuk bahan rompakan yang tidak diambil semua. Biasanya mereka akan sapu semuanya.
“Penjenayah juga ada meninggalkan peralatan yang digunakan seperti sarung tangan, gerudi dan juga topi. Ini menimbulkan kemusykilan kepada pihak polis,” katanya.
No comments:
Post a Comment